Prinsip Ubudiyyah dalam pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin


Dasar pemerintahan / pentadbiran Khulafa Ar Rasyidin

·  Undang-undang dan perlembagaan negara berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

· Khalifah mempunyai kuasa membuat keputusan berdasarkan pandangan ahli majlis syura dan ijtihad.

· Pemimpin bertanggungjawab menegakkan kebenaran dan memerintah dengan adil.

· Khalifah merupakan ketua negara.

· Khalifah tidak mendapat hak istimewa mengatasi undang-undang.

· Gabenor dan pegawai dilantik berdasarkan kecekapan dan kewibawaan.

· Pemimpin dan rakyat sama-sama bertangunggjawab membangun dan memajukan negara.

·  Rakyat wajib mentaati pemerintah yang taat kepada syariat Allah.

· Rakyat boleh memberi pandangan dan teguran kepada pemimpin mengikut saluran tertentu.


· Khulafa Ar – Rasyidin.

· Al – Quraan dan sunnah menjadi asas corak pemerintahan Khalifah mengutamakan kebajikan dan keadilan semua rakyat. Majlis Syura memainkan peranan penting dalam melaksanakan pentadbiran negara.


1)      Menumpaskan Gerakan Golongan Murtad Dan Nabi Palsu

Semasa kekhalifahan Abu Bakar, membanteras golongan murtad dan nabi palsu adalah keutamaannya. Walaupun Abu Bakar seorang yang lemah lembut, namun beliau sangat tegas dan berpendirian teguh dalam hal memerangi golongan ini.

Selain menghapuskan kumpulan murtad yang semakin ramai ini. Beliau menangani isu tersebut dengan berterusan memberikan semangat keislaman dan keimanan kepada masyarakat muslim dari pelbagai kabilah.

Beliau juga meminta umat Islam bekerjasama dalam memerangi kaum murtad. Bahkan beliau mengirim utusan kepada setiap kabilah yang murtad untuk mengajak mereka kembali kepada Islam yang sebenar.

Beliau juga berjanji, jika kembali kepada Islam mereka akan dilindungi dan tidak akan dihukum. Namun jika enggan, mereka akan diperangi.

Bagi memantapkan persaudaraan dan keimanan masyarakat Islam, beliau mewajibkan seluruh penduduk Madinah untuk menghadiri solat berjemaah di masjid.

Beliau juga membina pos kawalan di sekitar sempadan kota Madinah sebagai perlindungan dari serangan golongan yang diperangi.


2)      Mengumpul Naskah Al-Quran Dan Hadis

Dalam pertempuran melawan golongan murtad, terutamanya dalam peperangan Yamamah; telah banyak mengorbankan para sahabat dan golongan penghafaz al-Quran.

Saidina Umar al-Khattab yang risau akan kehilangan sebahagian besar ayat al-Quran mencadangkan agar dikumpulkan ayat-ayat al-Quran yang masih berada di merata-rata tempat dan ditulis di atas tulang-tulang, kulit binatang, pelepah kurma, batu-batu dan sebagainya.

Lalu Khalifah Abu Bakar bersetuju dan memerintahkan Zaid bin Tsabit untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.


3)      Membentuk Lembaga Majlis Syura

Abu Bakar as-Siddiq membentuk lembaga majlis syura sebagai tempat bermusyawarah dan mengumpulkan pendapat sebelum menentukan sesuatu keputusan.

Ahli-ahli dewan syura adalah dari kalangan para sahabat yang mewakili ulama dan umat Islam; kaum Muhajirin ataupun Ansar.

Melalui Majlis ini, penduduk juga mendapat ruang untuk memberi pendapat dan menyuarakan permasalahan kepada pemerintah.


4)      Sumber Hukum Pemerintahan Meletakkan Al-Quran Yang Utama

 Semasa kekhalifahannya, Abu Bakar as-Siddiq menerapkan hukuman Islam dari al-Quran dan as-Sunnah.

Setiap kali berhadapan dengan masalah dan kesulitan, beliau akan menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama, jika masih belum bertemu beliau akan mencarinya melalui sunnah-sunnah Rasulullah.

Dan jika masih belum diketemui, Abu Bakar berijtihad setelah meminta pendapat dari sekurang-kurangya dua orang dalam kalangan sahabat.

Beliau juga sangat meninggikan martabat al-Quran dengan menggiatkan budaya menghafaz al-quran di sekitar kota Madinah.

Kesannya, masyarakat ketika itu menjalani kehidupan berlandaskan al-Quran. Tambahan lagi Madinah ketika itu masih dihuni oleh para sahabat Rasulullah yang sangat menjaga kesucian al-Quran dan agama Islam.

Khalifah Abu Bakar juga menjadikan masjid sebagai pusat pendidikan al-Quran bagi golongan penghafaz serta golongan yang menuntut ilmu-ilmu keilmuan al-Quran.


5)      Menubuhkan Lembaga Kewangan

Lembaga Kewangan ditubuhkan untuk mengurus harta dan kewangan negara (perbelanjaan negara). Jadi, Abu Ubaidillah bin Jarrah dilantik sebagai Wazir al-Maliyah iaitu sebagai menteri kewangan yang pertama.

Ketika itu, sumber kewangan negara adalah dari sumbangan sedekah, zakat, harta rampasan perang (ghanimah) dan cukai jizyah yang dikumpulkan dalam lembaga kewangan atau Baitulmal.

Harta atau wang dari Baitulmal itu kemudiannya digunakan untuk membiayai keperluan negara termasuklah gaji golongan pemerintah sehinggalah kepada memenuhi segala keperluan rakyat.


6)      Membentuk Jabatan Perundangan

Jabatan Perundangan ini adalah sama dengan system keadilan dan kehakiman yang ada pada hari ini. Ianya ditubuhkan untuk menangani permasalahan berkaitan undang-undang dan hukuman.

Dalam jabatan ini, Khalifah Abu Bakar melantik Umar bin al-Khattab sebagai ketua walau kuasa dan hak utama memutuskan pengadilan masih terletak pada tangan khalifah.

Ketika menjalankan tanggungjawabnya sebagai hakim, Abu Bakar sering meminta pandangan dari para sahabatnya yang mahir dalam bidang undang-undang. Kumpulan saksi juga diwajibkan untuk diambil keterangan sebelum menentukan sesuatu keputusan.


7)      Perlantikan Gabenor Di Setiap Wilayah

Abu Bakar telah membahagikan 10 wilayah bagi memudahkan pentadbiran. Lalu, setiap wilayah ditempatkan seorang gabenor atau Amir.

Tugas Amir antaranya adalah menjaga dan menjalankan syiar Islam, menguruskan urusan kewangan dan pemerintahan di samping menegakkan hukum Islam di wilayah yang dipimpimnya.


8)      Keadilan Adalah Keutamaan Pemerintahan

Semasa pemerintahan Abu Bakar, pembahagian zakat adalah berdasarkan prinsip kesamarataan dengan memberikan jumlah yang sama kepada semua sahabat Rasulullah.

Tiada perbezaan antara sahabat yang lebih awal memeluk Islam dengan yang terkemudian, antara golongan hamba atau penduduk yang merdeka, atau antara kaum wanita atau lelaki.

Khalifah Abu Bakar sangat mengutamakan prinsip kesamaan (keadilan) yang baginya itu adalah lebih baik berbanding prinsip keutamaan kepada golongan tertentu.

Kesimpulannya, semasa sesi awal pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq, terutamanya pada awal-awal pentadbiran beliau lebih fokus kepada menyelamatkan akidah dan keselamatan kaum muslim, iaitu dengan memerangi golongan murtad memantapkan ketenteraan Islam.

Selepas keadaan negara lebih stabil, beliau mulai menumpukan kepada perluasan kerajaan Islam dengan menyebarluaskan dakwah Islam melalui bidang ketenteraan.

Walaupun hanya memerintah selama dua tahun, kepimpinan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq sangat terserlah, dan berjaya menstabilkan kerajaan Islam yang pernah dipimpin oleh Nabi Muhamamd s.a.w.

Semoga jejak langkah beliau diikuti oleh generasi pemimpin masa kini dengan menjadikan pentadbiran beliau sebagai contoh dan tauladan

No comments:

Post a Comment