Saidina Umar Al-Khattab

Latar belakang

Nama Umar, yang bergelar Abu Hafs ialah Umar ibn al-Khattab bin Abdul Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin Adi bin Ka’ab bin Lu’ai al-Quraisy, tergolong dari suku kaum Adi. Suku kaum Adi dipandang mulia dan tinggi oleh kabilah Quraisy, dan ramai dari kalangan suku kaum Adi melahirkan orang-orang yang terkenal dan termasyhur dalam sejarah perkembangan Islam.

Garis salasilah Ibn al-Khattab dan nabi Muhammad s.a.w. bertemu pada keturunan yang ke-8. Nasab Umar Ibn al-Khattab dan nabi Muhammad s.a.w. bertemu pada nenek mereka yang bernama Kaab bin Luai al-Quraisy al- Kedawi. Dilahirkan di Mekah, empat tahun sebelum perang Fijr, iaitu 13 tahun selepas kelahiran selepas kelahiran nabi Muhammad s.a.w.. Perang al-Fijr adalah pertempuran antara puak Kinanah dan Quraisy di satu pihak, dan puak Hawazin di satu pihak yang lain. 

Dinamakan al-Fijr sempena insiden pertempuran yang berlaku dalam bulan Zulkaedah, iaitu satu bulan yang mulia di kalangan kabilah Arab, yang diharamkan terjadinya peperangan atau pertempuran darah.


Beliau membesar dalam keluarga masyarakat berada. Masa kecilnya, beliau memelihara ternakan orang tuanya dan setelah itu dia berniaga, membawa barang  dagangan berulang-alik ke Syam. Dibesarkan dari kalangan keluarga yang tidak beragama Islam. Menganut agama Islam setelah memasuki usia remaja iaitu setelah lima tahun nabi Muhammad s.a.w. diangkat menjadi Rasul. Sempat memerintah selama lebih kurang 10 tahun, dan wafat pada 27 Zulhijjah tahun 23H akibat tikaman pisau Abu Lu’luah seorang lelaki keturunan Persia.


Sumbangan Saidina Umar Al-Khattab

·         Pembentukan Majlis al-Syura

Pembentukan satu majlis mesyuarat atau perundingan yang dinamakan sebagai majlis al-Syura.  Beliau sebagai ketua pemerintahan dan ketua negara telah dibantu secara rasmi oleh ahli Majlis Syura yang dianggotai oleh beberapa orang sahabat yang mewakili seluruh rakyat.  Majlis ini berfungsi sebagai kabinet negara.  Ahli majlis terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar iaitu Uthman b. Affan, Zaid b. Thabit, Ali b. Abu Talib, Abdul Rahman b. Auf, Saab b. Abi Waqqas dan Muaz b. Jabal  Majlis Syura terbahagi kepada dua majlis iaitu majlis tertinggi dan majlis harian.
Segala masalah penting berhubung dengan negara diselesaikan oleh majlis syura ini yang mana khalifah tidak mempunyai hak istimewa dalam menentukan atau membuat keputusantertentu tanpa mesyuarat majlis.  Majlis juga berkewajipan untuk meneliti semua masalah umat Islam dan negara yang diterangkan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

·         Meluaskan wilayah pentadbiran

 Beliau berjaya menakluki sebuah kawasan yang luas meliputi wilayah-wilayah Iraq,Syria dan Mesir sehinggakan beliau terpaksa menghadapi masalah pentadbiran wilayah yang ditakluki dari segi politik,sosial dan ekonomi.Kerajaan Islam pada masa itu berjaya menguasai Baitulmuqaddis dan Damsyik.

·         Mewujudkan Pembahagian wilayah

 Mewujudkan pembahagian wilayah bagi melicinkan pentadbiran negara. Wilayah-wilayah pentadbiran dibahagikan kepada beberapa wilayah (antara 6 hingga 8 wilayah) seperti Madinah, Makkah, jazirah Mesir, Iraq, Wilayah Selatan dan Wilayah Timur.  Setiap wilayah ditadbir oleh seorang Gabenor atau wali atau seorang Ketua Setiausaha dan mereka dibantu oleh para pegawai tertentu mengikut jabatan masing-masing.  Pegawai-pegawai awam yang lain ialah Ketua Setiausaha Tentera, pegawai pemungut cukai dan hakim wilayah.  Disetiap wilayah terdapat pegawai-pegawai tertinggi angkatan tentera.  

·         Penubuhan Jabatan Baru

Penubuhan jabatan baru yang mana setiap wilayah mempunyai jabatan penting seperti Jabatan Setiausaha Tentera, Jabatan Percukaian, Jabatan Polis, Jabatan perbendaharan Negara dan Jabatan Kadi.  Jabatan penyiasatan jenayah ditubuhkan bagi mengawal anggota pentadbiran awam dan tentera yang melakukan penyelewengan.  Sehubungan dengan itu beberapa jawatan penting telah diwujudkan bagi mengetuai jabatan-jabatan tersebut.  Setiap jabatan diketuai oleh Setiausaha atau khatib dan dibayar gaji bulanan.
Jabatan kehakiman dipisahkan daripada jabatan lain bagi mengelakkan penyelewengan dan kadi-kadi tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan.  Hakim akan menerima 500 dirham sebulan.

·         Pembaharuan dalam undang-undang pentadbiran tanah

Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera Islam dibahagikan kepada dua jenis
i)     Tanah Dhimmah – tanah bertuan ditadbir pemilik asal.
ii)   Tanah Sawafi – tanah tidak bertuan dan ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah  yang  dilantik daripada ahli al-Ayyam (golongan peneroka)

·         Penggunaan Kalendar Hijrah

Khalifah Umar adalah orang bertanggungjawab menentukan tahun Hijrah dalam Kalendar Islam.  Takwim atau kelendar ini dimulakan pada tahun 17  Hijrah bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran negara terutamanya dalam bidang Pendidikan yang banyak membabitkan penggunaan Tarikh

·         Mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran

Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.


1 comment:

  1. I Love It so much thankyou for this information i love it

    ReplyDelete