Latar
Belakang
Nama sebenar Abu Bakar ialah Abdullah Bin Abu Qahafah. Sebelum
Islam, beliau dikenali sebagai Abdul Kaabah. Al-Siddiq ialah gelaran yang
diberi oleh Nabi kerana beliau sentiasa membenarkan kata-kata Nabi. Beliau dilahirkan
pada tahun 574 M, dari keturunan Bani Tamin/Taim. Sebelum Islam, beliau adalah
saudagar yang kaya. Selepas Islam, beliau banyak mengorbankan harta dan tenaga
untuk kepentingan Islam. Melalui usaha beliau, beberapa orang sahabat telah
berjaya diislamkan termasuklah Uthman Bin Affan, Zubair Bin al-Awwan, Abdul
Rahman Bin Auf dan sebagainya.
Proses
Perlantikannya Sebagai Khalifah
Ketika orang Islam sibuk dengan pengebumian Nabi, orang-orang Ansar
telah berkumpul di Saqifah Bani Saidah bagi melantik Saad Bin Ubaidah, ketua
puak Khazraj, sebagai khalifah. Apabila hal ini diketahui oleh Abu Bakar,
beliau bersama-sama Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah telah pergi ke sana. Abu
Bakar menerangkan bahawa jawatan khalifah sepatutnya diberi kepada keturunan Quraisy
kerana Quraisy sangat berpengaruh. Oleh itu, belia mencadangkan supaya sama ada
Umar atau Abu Ubaidah dipilih. Umar sebaliknya telah mencadangkan supaya Abu
Bakar sahaja dipilih memandangkan kelebihan yang dimilikinya. Umar telah
membai'atkan Abu Bakar diikuti Abu Ubaidah dan seterusnya orang-orang yang ada
dalam perhimpunan tersebut.
Esoknya, Abu Bakar terus menerima bai'at dari orang ramai di masjid
nabi. Abu Bakar kemudiannya telah membuat ucapan besar di antara lain
menyebutkan bahawa umat Islam wajib mentaatinya selagi beliau masih mentaati
Allah. Sekiranya beliau melakukan kesalahan, adalah menjadi tanggungjawab semua
orang untuk membetulkannya. Beliau telah menggalakkan umat Islam untuk
melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara-perkara mungkar.
Sumbangan
Saidina Abu Bakar
Menyelesaikan Masalah Perebutan
Jawatan Khalifah. Masalah ini berpunca cari nabi tidak
menyebut siapakah yang akan dilantik untuk menggantikannya. Apabila baginda
mangkat, timbullah masalah perebutan jawatan khalifah. Ada yang berpendapat
jawatan khalifah hanya untuk orang Quraisy dan sesetengah menyebut ia hanya
untuk Muhajirin. Terdapat pula yang mengatakan jawatan khalifah hanya dikhaskan
kepada keturunan Bani Hasyim. Masalah ini menjadi kuat apabila golongan Ansar
mengganggap diri mereka layak memandangkan sumbangan mereka terhadap
perkembangan Islam. Abu Bakar telah memberi hujah yang sebaik-baiknya bahawa
khalifah adalah ditujukan kepada orang Quraisy kerana orang Quraisy sangat
berpengaruh. Beliau telah mencadangkan sama ada Umar atau Abu Ubaidah dipilih
tetapi Umar mencadangkan Abu Bakar dipilih sebagai khalifah. Abu Bakar telah
mendapat persetujuan dari orang ramai dan menjadi khalifah pertama.
·
Gerakan Tentera Usamah
Sebelum nabi wafat, nabi telah membentuk sebuah pasukan tentera yang
diketuai oleh Usamah Bin Zaid untuk memerangi penduduk Ghassan yang telah
membunuh utusan nabi. Sebelum pasukan ini digerakkan, nabi telah wafat. Apabila
Abu Bakar menjadi khalifah, beliau mencadangkan untuk meneruskan gerakan tersebut
tetapi telah dibantah oleh kebanyakan sahabat.
Dalam hal ini, Abu Bakar telah menunjukkan ketegasannya walaupun
kebanyakan sahabat berpendapat Usamah terlalu muda (18 tahun) untuk memikul
tugas tersebut. Abu Bakar ternyata tidak mahu merombak keputusan yang telah
dibuat oleh nabi. Dengan ketegasannya, 40 hari selepas tentera Usamah
berperang, mereka kembali semula ke Madinah dengan membawa kejayaan malah dapat
sama-sama membantu menyelesaikan masalah al-Riddah.
·
Masalah al-Riddah
Al-Riddah/Gerakan anti kerajaan Islam, merupakan satu ancaman yang
besar kepada negara Islam.Mereka telah dibahagikan kepada 3 golongan, iaitu
orang-orang yang mengaku sebagai nabi termasuklah Tulaihah Bin Khuwalid,
al-Aswad al-Anasi, Musailamah al-Khazzah, Sajjah al-Harith dan sebagainya.
Golongan kedua terdiri daripada mereka yang tidak mahu membayar
zakat. Antara yang terkenal ialah Malik Bin Nuwairah. Golongan ketiga terdiri
daripada mereka yang murtad/kembali semula ke agama asal. Bagi mengatasi
masalah ini, Abu Bakar telah membentuk 11 buah pasukan tentera yang diketuai
oleh panglima-panglima terkenal seperti Khalid Bin al-Walid, Amru Bin al-As,
Ikramah Bin Abu Jahal, Syurahbil Hasahah dan Khalid bin Said.
Sebelum memerangi golongan al-Riddah, Abu Bakar terlebih dahulu
menghantar utusan kepada mereka dan menyuruh mereka kembali semula kepada
Islam. Ada di antara mereka yang menerima dan ada yang menolak. Kepada golongan
inilah tentera tersebut dihalalkan. Tindakan Abu Bakar ini ternyata telah
membawa kejayaan.
·
Pengumpulan al-Quran
Semasa nabi masih hidup, al-quran telah ditulis pada kulit-kulit
binatang dan pelepah-pelepah kurma di samping hafalan para sahabat tetapi
tulisan-tulisan tersebut tidak terkumpul di suatu tempat. Semasa berlakunya
peperangan al-Riddah, ramai sahabat yang menghafal dan menyimpan al-Quran mati
syahid. Keadaan ini amat membimbangkan Abu Bakar.
Dengan menggunakan istihat Abu Bakar telah mengarahkan Zaid Bin
Thabit untuk mengumpulkan tulisan al-Quran dan disimpan di rumah khalifah. Usaha ini tidak pernah dilakukan oleh nabi tetapi demi keselamatan orang Islam, Abu Bakar terpaksa melakukannya. Hal ini disebabkan al-Quran adalah sumber rujukan yang utama di dalam Islam.
·
Ancaman Parsi
Pertelingkahan dengan Parsi bermula apabila tentera Islam dihantar
ke sebelah Timur untuk menghapuskan pemberontakan orang Badwi. Parsi yang
merupakan musuh orang Islam telah menghasut penduduk di sempadan sebelah Timur
menentang Kerajaan Islam Madinah.
Bagi menyelesaikan masalah ini, Abu Bakar telah mengarahkan Panglima
al-Muthana Bin Harithah dengan bantuan Khalid Bin al-Walid bersama-sama dengan
10,000 tentera untuk memerangi Parsi. Pasukan tentera ini akhirnya berjaya
menguasai beberapa tempat di Hirah setelah menewaskan pemimpin Parsi iaitu Hurnuz
al-Muthana kemudiannya dilantik sebagai wakil pemerintah di Hirah dan Anbat.
·
Ancaman Rom
Tentera Islam juga terpaksa menghadapi ancaman Rom terutamanya di
Syria dan Palestin. Rom sememangnya berhasrat untuk meluaskan kekuasaan
politiknya di Semenanjung Tanah Arab kerana wujudnya persaingan dengan Parsi.
Kemunculan Kerajaan Islam Madinah menyebabkan kedudukan Rom semakin tergugat.
Abu Bakar telah membentuk sebuah pasukan tentera yang dipimpin oleh
Khalid Bin al-Walid dan dibantu oleh 4 orang panglima tentera iaitu Abu Ubaidah
Bin al-Jarrah, Amru Bin al-As, Yazid Bin Abu Sufian dan Syunahbil Hasanah.
Pertempuran I di antara tentera Islam dan Rom berlaku di Ajhadieh. Hercules
melarikan diri ke Antibeh. Beliau telah berjaya mengumpulkan semua tenteranya dan
pertempuran II berlaku di Yarmuk. Dalam pertempuran ini tentera Islam telah
menang.
Sebelum peperangan berakhir, sampai berita mengatakan Khalifah Abu
Bakar telah wafat dan Umar telah dilantik sebagai khalifah kedua. Panglima
Khalid al-Walid dipecat dari jawatan Panglima Agung Tentera dan digantikan oleh
Abu Ubaidah Bin al-Jarrah.
·
Perlantikan Khalifah Kedua
Ketika Khalifah Abu Bakar sakit, beliau telah memanggil para sahabat
meninjau fikiran mereka untuk mencari seorang tokoh yang bakal menjadi khalifah
seterusnya. Kebanyakan para sahabat telah bersetuju pendapat Abu Bakar untuk
menjadikan Umar sebagai pengganti. Oleh itu, Uthman telah dilantik untuk
menulis wasiat berhubung dengan perlantikan tersebut. Tindakan Abu Bakar ini
bukan sahaja memeri peluang kepada Umar untuk memerintah negara Islam dan
seterusnya melakukan usaha-usaha pembangunan, malah ia dapat mengelakkan
berlakunya masalah perebutan jawatan khalifah seperti yang berlaku selepas
kewafatan nabi.
No comments:
Post a Comment